Allah Ta’ala menyediakan sebuah telaga khas kepada Nabi Muhammad
shallallahu ‘alaihi wa sallam yang terletak di padang Mahsyar pada hari
kebangkitan semula nanti.
Ada perbezaan pendapat di
antara para ulama tentang bila dan di mana manusia akan mendatangi
telaga Nabi SAW. itu. Imam Al Ghazali dan Al Qurthubi berpendapat telaga
itu berada di padang Mahsyar sebelum menyeberangi sirat. Manakala Imam
Bukhari rahimahullah berpendapat telaga Nabi SAW. itu berada selepas
melintasi sirat. Wallahu a’lam.
Nabi shallallahu ‘alaihi
wa sallam bersabda: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh
(telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang
paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah
yang paling banyak pengikutnya.” (HR at-Tirmidzi dalam Sunan
at-Tirmidzi, no. 2443)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda: “Dialirkan pada telagaku itu dua saluran air yang
(bersumber) dari (sungai al-Kautsar) di Syurga…” (HR. Muslim, no. 4255)
Anas
bin Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan, “Pada suatu hari, ketika
Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam berada di tengah-tengah kami,
tiba-tiba baginda mengantuk sekejap. Kemudian baginda mengangkat kepala
sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya, “Apa yang membuat Tuan
tersenyum, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Baru saja diturunkan
kepadaku sebuah surah.” Lalu Beliau membaca: (maksudnya), Dengan nama
Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang: “Sesungguhnya Kami telah
memberikan kepadamu al-Kautsar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan
berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang
terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Katsar: 1-3). Kemudian Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata: “Apakah kalian tahu apakah
Al-Kautsar itu?” Kami (para sahabat) menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang
lebih mengetahui.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Sesungguhnya Al-Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabb-ku
‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia
adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat.
Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.” (HR Muslim, no. 400).
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Telagaku (panjang dan
lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu,
baunya lebih harum daripada kesturi, cawannya sebanyak bintang di
langit. Sesiapa yang minum darinya, dia tidak akan haus untuk
selamanya.” (HR Bukhari, no. 6093 dan Muslim, no. 4294).
Diriwayatkan
dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda: “Sesungguhnya telagaku itu lebih panjang dari jarak
antara Aylah (sebuah kota di teluk ‘Aqobah, Yordania) dan ‘Adan (kota
Yaman). Seeungguhnya air telagaku itu lebih putih dari salji, lebih
manis dari madu dicampur susu, serta bejana-bejananya lebih banyak dari
bintang-bintang. Aku sungguh akan menjaganya dari orang lain (selain
umatku), sebagaimana seseorang menjaga telaganya dari unta orang lain.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah pada hari itu baginda
mengenali kami?” Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya.
Kalian punya tanda yang tidak dimiliki oleh umat lain. Kalian datang
kepadaku dengan dahi dan kaki bercahaya putih kerana wuduk.” (HR Muslim,
no. 364)
Tetapi ada sebahagian umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang akan diusir ketika ingin mendatangi telaga itu.
Nabi
shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku adalah pendahulu kalian
menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan
sesiapa meminumnya, niscaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang
beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun
mereka terhalangi dari menemui diriku.” (HR Bukhari, no. 6528 dan
Muslim, no. 4243)
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam
bersabda: “Aku berkata: “Mereka termasuk umatku!” Namun muncul jawaban:
“Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas
sepeninggalmu.” Aku pun berkata: “Pergi dari sini, Pergi dari sini, bagi
orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.” (HR Bukhari, no. 6097)
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya selepasku nanti
akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Sesiapa
pergi kepada mereka lalu membenarkan penipuan mereka dan menolong
kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia
tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan
pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari
kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi
telagaku”. (HR Ahmad, Nasai dan Tirmidzi)
sumber: lenggangkangkung via email
Semoga kita semua dikurniakan IMAN, CINTA SERTA KASIH SAYANG dari Allah S.W.T.
'Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesunguhnya peringatan itu bermanafaat bagi orang-orang mukmin.'
Tidak ada komentar:
Posting Komentar